KUCHING, 16 Feb -- Pemandangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika berlangsungnya Persidangan DUN yang ke-19 hari ini.
Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 untuk perbelanjaan tambahan sebanyak RM478,843,946 bagi menampung kos pelbagai perkhidmatan yang ditanggung beberapa Kementerian dan Jabatan yang dana tidak disediakan atau tidak mencukupi untuk anggaran 2021.
Antara Kementerian dan Jabatan yang terlibat ialah Jabatan Ketua Menteri, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Sarawak juga mengambil langkah mengawal selia industri sagu dan nipahnya apabila Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SNDB), 2022 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negerinya hari ini.
Lembaga itu akan membantu Kerajaan Negeri dalam merancang untuk daya maju dan kemampanan industri itu di negeri ini pada masa hadapan.
Sarawak adalah antara pengeksport terbesar tepung sagu di dunia dengan 37,884 tan metrik bernilai RM78.29 juta pada 2020, manakala gula apong bernilai RM1.93 juta, antara produk nipah, dieksport tahun lepas dengan RM3.38 juta lagi diperoleh daripada jualan tempatan.
-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA